Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).

Friday, March 18, 2011

KriSiS KeYaKiNaN ...

Selalunya apabila diuji kita akan melihat ujian itu sebagai satu seksaan atau malapelaka yang kadangkala menyebabkan kesedihan atau kegusaran yang melampau-lampau. Kita menangis semahu-mahunya, bercerita tidak henti-henti dan menyalahkan diri sendiri dan orang di sekeliling yang boleh disalahkan. Terlalu cepat kita melatah. Terlalu singkat sekali pemikiran kita yang pada dasarnya dilapisi ilmu agama. Tanpa kita sedari mungkin ini petanda rendahnya iman.
Di luar kotak musibah, boleh sahaja kita menasihati orang lain agar bersabar, supaya berserah kepada Allah SWT, bertawakkal dan redha dengan qada' dan qadar tetapi lihatlah saja berapa ramai antara kita yang akhirnya memakan kata-kata sendiri apabila dihembus angin musibah. Kata-kata nasihat yang bersemangat keluar daripada mulut kita sendiri kini pudar dan longlai dipukul ujian dunia. Mungkin ada yang berkata "Tak rasa mana tahu. Kena batang hidung sendiri baru tahu."

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ
"Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan?"
(Al-Shaf:2)
Mengapa ini terjadi?
Mengapa ada di antara orang-orang yang terlebih dulu 'makan garam' dan mereka yang dalam ilmu kefahamannya tentang hakikat dan takdir Allah SWT juga tidak terlepas dari berkelakuan demikian walaupun mereka mengetahui tentang ilmu agama? Mereka sepatutnya lebih arif bukan?
***
Ini kerana kita tidak bercakap soal ilmu. Kita bercakap berkenaan satu kuasa yang jauh lebih kuat daripada ilmu yang tersimpan di dalam akal fikiran. Kita bercakap tentang hati. Organ yang menjadi raja kepada tubuh kita dan jika baik hatinya maka baiklah keseluruhannya.
Hati yang membimbing kita untuk menjadi kuat dan tabah dalam menghadapi kesusahan atau ujian daripada Allah SWT. Kerana di hati tersimpannya keyakinan yang tidak mungkin muncul melalui ilmu pengetahuan yang kita perolehi semata-mata. Keyakinan daripada hati itu terbit tidak lain tidak bukan bersama iman . Iman yang datang daripada ilmu pengetahuan kita yang disertai amalan. Disebabkan itu, mengetahui tidak semestinya meyakini lantas boleh dizahirkan keyakinan itu dengan perbuatan.
Mengetahui itu berpangkalan di otak manakala meyakini berpangakalan di hati dan bersangkutan dengan perihal iman seseorang. Oleh yang demikian, boleh sahaja kita menyuruh seseorang bersabar menghadapi kematian ibu atau ayah tersayang atau difitnah rakan sekerja dan pasti orang yang ditimpa musibah itu juga tahu dia harus bersabar, tetapi setakat mana kemampuannya untuk bersabar. Kemampuan itu ditentukan oleh kekuatan hati dan keyakinan terhadap takdir, qada' dan qadar' dan janji-janji Allah SWT.
Tidak yakinkah kita perjuangan kita iaitu bersabar dan terus mentaati perintah Allah SWT ini akan di balas dengan balasan yang lebih baik?
Jika kita tidak berupaya untuk bersabar maka kitalah yang harus dipersalahkan kerana tidak yakin. Tidak yakin dengan janji Allah SWT dan lemahnya kita dalam mengenal sifat-sifat Allah SWT. Kita mungkin fasih melaungkan Asma-ul-husna tetapi mungkin juga gagal dalam meyakini kebenaran nama-nama agung yang basah di lidah kita. Apabila difikirkan kita mungkin rasa malu, terlalu daif dan kerdil hendak mencongak iman yang tidak tahu di mana tahapnya. Disebabkan itulah, kadangkala kita selalu gagal untuk bertenang apabila berhadapan dengan konflik di dalam kehidupan seharian.
Benarkah cinta kita kepada Allah SWT jika kita gagal untuk pecaya dan yakin akan sifat-sifat Allah SWT?
Keyakinan itu hakikatnya berada pada tahap yang asas dalam beragama. Rukun iman sendiri berkisar tentang kepercayaan yakni keyakinan kita kepada enam perkara utama. Enam perkara ini sememangnya adalah perkara-perkara ghaib yang tidak boleh kita lihat dengan mata kasar kecuali dengan petunjuk iaitu di dalam Al-Quran. Mengapa perkara ghaib? Kerana Allah SWT hendak menguji keyakinan kita. Yakni haqqul yakin, keyakinan sepenuh hati tanpa melibatkan bukti atau akal. Keyakinan yang diharapkan ini juga membawa maksud berserah kepada kepada Allah SWT tanpa bersebab atau bukti.
***
Sewaktu peristiwa Israk Mikraj, betapa ramainya insan yang tidak yakin dengan kenyataan Nabi SAW bahawa beliau telah dijalankan oleh Allah SWT di waktu malam ke Masjid Al-Aqsa daripada Masjidil Haram pada malam yang sama diangkat hingga ke Sidratul Muntaha. Menurut tafsiran Sya'rawi, ramai yang tidak percaya sehingga ada yang murtad sementara golongan kafir Mekah lebih ke arah memaksa Nabi SAW mengaku yang perjalanan itu cumanya perjalanan roh yakni mimpi dan bukan jasad kerana ianya lebih logik dan boleh diterima akal.
Namun di kala itu, Abu Bakar sahabat Nabi SAW menerima berita itu dengan penerimaan seorang mukmin yang membenarkan peristiwa itu.
"Jika Muhammad SAW berkata demikian maka dia benar." Kemudian dia berkata lagi,"Bahkan kita mempercayainya jika dia mengatakan yang lebih jauh dari itu, kita telah mempercayainya dalam hal berita langit (wahyu), lalu bagaimana kita tidak mempercayainya dalam hal ini?"
Sayu memikirkan betapa tingginya iman Abu Bakar yang diterjemahkan melalui keyakinannya yang penuh kepada Rasulullah SAW tanpa memerlukan bukti atau dalil. Begitukah kita? Hikmah kejadian Israk' Mikraj ini tidak lain tidak bukan adalah sebagai ujian keimanan dan permbersihan keyakinan manusia sehingga tidak menetap orang-orang disekeliling Rasulullah SAW melainkan mereka yang memiliki keimanan dan keyakinan yang kuat yang tidak dapat digoyahkan.
***
Kisah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi sekali lagi mengajar kita tentang keimanan. Perjuangan mereka melarikan diri ke sebuah gua yang secara zahirnya adalah sempit bagi menyelamatkan akidah dan keimanan juga berdasarkan prinsip keyakinan.
Cuba kita bayangkan mereka semua berlindung di dalam gua dan meninggalkan semua harta, keluarga dan segala-galanya yang mereka miliki. Mereka hanya mempunyai agama yakni keimanan dan pergi ke tempat yang sempit yang di dalamnya tiada ada sesuatu yang boleh menjamin kehidupan mereka. Namun sedikit tidak terdetik di hati mereka untuk gusar dan risau ketika itu kerana mereka yakin mereka mempunyai Tuhan yang akan menguruskan semua urusan mereka dan mereka cuma berdoa sepenuh hati.
Kemudian Allah SWT menjawab doa mereka. Allah SWT menghadiahi keimanan mereka dan mencukupi keperluan mereka dengan sesuatu yang diluar logik akal.

فَضَرَبْنَا عَلَى آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا
"Maka kami tutup telinga mereka beberapa tahun dalam gua itu."
(Al-Kahfi: 11)
Mengapa ditutup telinga? Kerana Allah SWT mahu membenarkan mereka tidur yang tidak akan diganggu dengan apa sekali pun kerana telinga merupakan organ yang masih berfungsi di kala kita masih tidur. Dengan tertutupnya telinga, Allah SWT menidurkan mereka selama kurang lebih 309 tahun sekaligus mencukupkan keperluan mereka untuk hidup sedangkan mereka tidak sedar langsung akan hal itu.
Mengapa mereka dibantu? Kerana keyakinan dan keteguhan hati dalam beriman kepada janji Allah SWT dan beramal untuknya.

وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لَنْ نَدْعُوَ مِنْ دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا
"Dan kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata, 'Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian, telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran."
(Al-Kahfi: 14)
***
Lalu apa yang menghalang kita daripada meyakini janji Allah SWT? Tidak cukupkah pengajaran di dalam Al-Quran mengenai janji-janji Allah SWT yang tepat. Kita terbiasa melihat medium atau alat yang digunakan untuk menguji kita sebagai penyebab utama dan bukanlah Allah SWT. Dalam ayat yang lebih ringkas kita mahu "someone to be blame". Lemah benar iman kita. Sedar tidak sedar kita sudah terlalu terbiasa menjadikan manusia, kejadian atau material sebagai sebab terjadi sesuatu. Kita gagal dalam meyakini semuanya datang dari Allah SWT dan ini semua hanyalah ujian. Hati ini terlalu keras untuk memahami yang semua ini berlaku hanya kerana Allah SWT mahu ianya berlaku kerana jika Allah SWT mentakdirkan sesuatu ke atasmu, nescaya seluruh cakerawala akan bekerjasama menjalankan 'kun' Allah SWT itu, tetapi seandainya tidak ditakdirkan berlaku, bekerjasamalah keseluruhan jin dan manusia tetap ianya tidak akan berlaku.
Takdir Allah SWT itu sudah tertulis. Apabila dikunjung kesempitan, masalah, konflik, ujian, kesedihan, musibah yang menggoncang keyakinan kita haruslah kembali kepada Allah SWT. Tidak usah berterus-terusan melawan takdir dan menyalahkan dunia sekeliling. Kita diuji kerana Allah SWT masih sayangkan kita dan masih mahu menunjukkan jalan yang lurus kepada kita agar tidak dibiar hanyut, leka dan alpa dalam keseronokan. Kegembiraan sementara yang belum tentu baik buruknya.
Yakinlah kepada sesuatu yang hilang. Sahabat, kepercayaan, harga diri, saudara, kegembiraan, kebiasaan, kemewahan, maruah, keyakinan diri atau anak akan digantikan dengan perkara yang lebih baik. Yang pasti yakinlah kita, seyakin-yakinnya barulah Allah SWT akan memberi yang terbaik kepada kita. Bukankah Allah SWT itu mengikut sangkaan kita terhadapNya?
Kesimpulan
Di dalam kisah Nabi Musa, Allah SWT memberi jaminan kepada bonda Nabi Musa apabila dia perlu menghanyutkan Nabi Musa ke sungai. Dalam jaminan Allah SWT telah menyebut Dia menguatkan hati bonda Nabi Musa supaya imannya menjadi kuat dan mampu bersabar serta percaya kepada janji Allah SWT kerana secara logiknya ibu mana yang sanggup menghanyutkan anaknya sendiri di dalam sungai. Sesungguhnya Allah SWT telah yang memberi ilham dan keyakinan itu.

وَأَصْبَحَ فُؤَادُ أُمِّ مُوسَى فَارِغًا إِنْ كَادَتْ لَتُبْدِي بِهِ لَوْلا أَنْ رَبَطْنَا عَلَى قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
"Dan hati ibu Musa menjadi kosong. Hampir saja dia menyatakan rahsia tentang Musa seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, agar dia termasuk orang-orang yang beriman kepada janji Allah SWT. "
(Al-Qashash:10)
Syaratnya kita harus berada di dalam kategori orang beriman yakni yakin. Di dalam surah Al-Fath Allah SWT menyebut sekiranya Dia mengetahui keimanan ada di dalam hati salah seorang hambanya, pasti Dia akan menurunkan ketenangan ke dalam hati orang itu pada saat terjadinya musibah.

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
"Sesungguhnya Allah reda kepada orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)."


(Al-Fath:18)
 Renungan
Ketika Nabi Ibrahim mahu meninggalka Siti Hajar di tanah gersang dan kontang yang mana tidak ada hidupan pun di situ, Siti Hajar bertanya, "Disinikah kami ditinggalkan? Apakah kamu meninggalkan kami di sini atas pilihanmu atau atas pilihan Tuhan?"
Ibrahim menjawab: "Ini adalah perintah Allah SWT."
Hajar membalas dengan yakin:  "Kalau begitu kami tidak akan ditelantarkanNya."
- Artikel iluvislam.com  

SaaT BeRpiSAh ...

Sebaik-baik penasihat ialah kematian. Namun, mana mungkin orang yang pernah mati datang kepada kita untuk menasihatkan? Mengingatkan mati, menakutkan. Manusia akan takut pada apa yang tidak diketahuinya.
Semuanya masih misteri. Hanya tinggal al-Quran dan al-Hadis untuk kita rujuk bagi mengetahui tentang kematian. Namun berapa kerat antara kita yang berbuat demikian. Cerita tentang kematian akan mematikan rasa kemanisan menikmati hidup ini. Dan akibatnya, mati terus mati dalam hidup kita!
Jika seseorang mengingati mati, akan mudah hatinya dilentur kepada makrufat dan makrifat. Jika mengingati kematian jiwa akan jeran dan bosan dengan maksiat dan sayyiat (perkara yang buruk). Jika mati itu hidup di dalam hati kita, kita akan mudah memberi dan meminta maaf. Kita akan mudah bersabar dan bertenang dengan karenah insan. Nikmat dosa akan sirna dengan mengingati mati. Azab taat akan kecil bila teringat saat kembali.
Ketika hatimu jemu dengan ketaatan, mula tergiur dengan kemaksiatan, kenang-kenangkanlah SAAT BERPISAH.
Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji, tiba masanya pasti kembali!
Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:
"Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan."
Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.
Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita.
Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap untuk bersabar.
Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi.
Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:
"Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya."
Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.
Justeru, carilah apakah "kebijaksanaan" itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti. Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut, katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu.
Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Nikmat dunia akan kita lupakan sebaik sahaja melihat azab di akhirat. Dan azab di dunia akan kita lupakan setelah melihat nikmat di akhirat.
Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.
Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya... syurga!

KeJaHatAn BuKaN sAtU KeBetULAn

Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah.
Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah. Benarlah seperti yang sering diungkapkan, bila manusia berdosa dia bukan sahaja menentang Allah tetapi juga menentang dirinya sendiri.
Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya... rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan... tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.
Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dilazimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.
Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuhraya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk 'maju' setapak lagi. Itulah tahap keempat yang lebih dahsyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadi si berdosa itu menjadi pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat... pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat.
Justeru wahai diri, berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan. Ingat, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Keterlanjuran kali pertama jangan disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.
Wahai diri... ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah 'peringatan' yang Allah bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insani. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itukan syarat taubat? Maka susulilah dengan syarat kedua dan ketiga (jika dosa itu dengan Allah). Jika dosa itu dengan manusia, tambahlah lagi dengan syarat yang keempat. Tidak mengapa jika kau terlanjur lagi berdosa selepas itu. Bertaubatlah kembali. Hatimu akan hidup lagi. Selagi ada rasa bersalah, selagi itulah ada sarana untuk kembali kepada Allah. Jangan putus asa oleh taubat yang patah, kerana kasih-sayang Allah akan menumbuhkan taubat kali kedua, ketiga dan seterusnya.
Wahai diri, biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat yang tidak 'menjadi' berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terbentur, daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh 'nikmatnya' yang menyebabkan siksa selamanya di akhirat.
Wahai diri, ingatlah... sekalipun kau terhijab daripada mengecapi nikmat ketaatan, tapi jangan sampai kau tertipu oleh nikmat kejahatan. Berhati-hatilah menjaga hati. Tidak mengapa kau selalu menangis kerana dosa... tetapi jangan sampai kau tersenyum kerananya! Ingatlah selalu, kejahatan yang menyebabkan kau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur!

TuNanGaN HalAlmU SeLePas NiKah

Pertunangan bermaksud perjanjian yang dibuat oleh pasangan untuk melangsungkan perkahwinan. Ia adalah satu sunnah yang dituntut dalam Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada isteri baginda Aisyah Binti Abu Bakar dan Hafsah Binti Umar. Dengan berlangsungnya ikatan pertunangan tersebut, maka tergalaslah sebuah komitmen yang tidak rasmi pada diri seorang lelaki dan wanita yang belum berkahwin untuk mengenal hati budi masing-masing.
Islam membenarkan pertunangan sebagai cara untuk pasangan yang ingin berkahwin mengenali bakal isteri dan suami termasuklah ahli keluarga mereka sama ada dari segi fizikal dan mentaliti. Jadi sudah tidak hairan lagi pada kita jika ramai pasangan yang bercinta pada hari ini melangsungkan pertunangan sebelum mereka berganjak ke gerbang perkahwinan. Tapi  silapnya pada masa kini,  fitrah pertunangan ini sudah menjadi fitnah.
Konsep Pertunangan
Menurut konsep pertunangan dalam Islam yang sebenarnya, sesebuah  pasangan perlu bertunang terlebih dahulu sebelum berkenalan dengan lebih rapat dengan pilihan hati mereka. Ia tidak lain adalah untuk menjaga kesucian sebuah perhubungan agar diredhai oleh Allah. Namun, yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya. Selepas berkenalan dengan pasangan masing-masing dan berpuas hati dengan sikap, perangai dan tingkah laku barulah mereka mengikat tali pertunangan. Ia sekadar menjadi petanda seseorang itu sudah mempunyai pemilik.
Bertunang tiada bezanya dengan bercinta. Ramai yang tersalah tafsir dengan adanya ikatan pertunangan, maka mereka mempunyai lesen untuk berdua-duaan, berpegang-pegangan dan melakukan pelbagai aktiviti bersama. Sememangnya dalam tempoh bertunang pasangan dibenarkan untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang diri pasangan dan pada waktu inilah mereka perlu memanfaatkan masa yang ada untuk berkenalan tetapi kita perlu ingat, jangan sampai ia melanggar syariat yang digariskan oleh Islam.
Jauhi Perkara Zina
Kebanyakan umat Islam hari ini menganggap penzinaan itu adalah semata-mata melakukan persetubuhan haram. Sebenarnya, bukan perbuatan zina itu sahaja yang dilarang keras tetapi kelakuan dan tindak tanduk yang mendorong berlakunya perbuatan tersebut. Maksud perkataaan zina itu luas yang mana meliputi semua aspek perlakuan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Zina kedua-dua mata itu memandang perempuan yang ajnabi, zina kedua-dua telinga itu mendengar, zina kedua-dua tangan itu menyentuh, zina kedua-dua kaki itu melangkah dan zina hati itu mengingini dan menangan-angankannya." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Jelaslah kepada kita semua perlakuan dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan yang sudah akil baligh dan bukan mahram termasuklah yang sudah bertunang atau tidak, melainkan yang sudah berkahwin adalah dikira zina. Ia adalah perkara-perkara yang membuka peluang dan menimbulkan dorongan sekali gus memberi laluan mudah kepada pasangan bertunang untuk melakukan permulaan zina. Ini kerana, mereka telah meletakkan diri mereka berdua-duaan di suatu tempat dan seterusnya mendorong melakukan kemuncak kepada perbuatan yang terkutuk. Apabila berdua, maka akan ada yang ketiga.
Rasulullah SAW telah bersabda, "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan." (Hadis Riwayat Imam Ahmad).
Ramai Bersubahat
Larangan berdua-duaan dan perlakuan yang membawa kepada perbuatan zina itu bukan sahaja ditujukan kepada pasangan yang bertunang sahaja tetapi termasuklah orang-orang sekeliling yang turut terbabit atau bersubahat. Ramai antara kita yang tidak sedar bahawa mereka secara tidak langsung terlibat dengan perlakuan yang hampir kepada zina. Contohnya dalam kalangan ibu bapa yang sengaja membiarkan anak-anak teruna dan gadis mereka keluar berdua-duaan. Kononnya,  ibu bapa yang 'sporting' dan memberi kebebasan serta kepercayaan kepada anak-anak mereka.
Kerana ceteknya ilmu agama dan terpengaruh dengan amalan dan budaya sosial Barat yang moden dan terkini, mereka tidak mahu dipandang kolot dan dan dilihat alim. Ramai yang menganggap apa yang mereka lakukan itu adalah perkara biasa dan sudah menjadi tradisi malah selari dengan zaman moden sekarang ini. Tambahan pula, ada ibu bapa yang sengaja membiarkan anak-anak berdua-duaan dengan tunang dan kekasih mereka kerana mengingatkan manisnya zaman percintaan mereka semasa muda dahulu dan ingin anak-anak mereka merasai nikmat alam percintaan sebagaimana mereka dahulu.
Bertunang Bukan Tiket Buat Maksiat
Fenomena keruntuhan akhlak yang berlaku dalam kalangan muda mudi sekarang khususnya yang beragama Islam boleh menyebabkan merebaknya kelahiran anak luar nikah dan sebagainya. Itu adalah antara bukti-bukti penerimaan ibu bapa dan masyarakat sekeliling kepada aktiviti berdua-duaan pada pasangan bertunang. Jangan biarkan diri terhantuk baru tengadah. Sedarlah, pengaruh budaya barat dalam bidang sosial ini harus dianggap sebagai virus berbahaya yang merosakkan budaya Islam sekaligus meruntuhkan kekuatan umat Islam.
Oleh itu, walaupun sudah bertunang, jangan anggap ia sebagai tiket untuk berdua-duaan dan menghalalkan segala bentuk perhubungan sebagaimana suami isteri. Pastikan jalinan hubungan cinta itu tidak melanggar hukum Allah dengan tidak ada pergaulan bebas, tidak berdua-duaan, tidak mendedahkan aurat, tidak meninggalkan solat dan sebagainya. Jangan jadikan hubungan tersebut perkara yang melalaikan dan merugikan. Kita masih belum menjadi hak milik pasangan kita sepenuhnya. Jagalah maruah agama, diri dan keluarga. Jangan disebabkan racun dalam percintaan ini disangka baja dan mampu menyuburkan hubungan yang dibina berkekalan kerana setiap apa yang berlaku berbalik kepada ketentuan Allah.
Cinta yang suci dan terpelihara pasti akan membawa pasangan yang sudah bertunang ke gerbang perkahwinan sehingga kemanisannya dan kebahagiaannya tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Ketika itulah fitrah menjadi anugerah.

BeRCoUpLe CaRa IsLam ...

Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu?
Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya.
Rasulullah s.a.w. pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi atau mencintai dan dicintai.
Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini.
Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah ketika itu agak menarik ; iaitu "Jodoh".
Masyarakat Sudah Lari
Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan bahawa cara masyarakat sekarang mengendalikan perihal jodoh telah lari daripada syariat yang sepatutnya.
"Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang.
Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan empunya diri dan terus menyatakan hasrat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji, bersumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan hubungan mereka itu. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, mak dan ayah tidak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan," terang beliau.
Konsep Meminang
Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, "Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali keluarga dan calon menantu mereka dengan lebih jelas.
Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah haram perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda.
Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan," jelas beliau lagi.
Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta.
Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.
Perigi Cari Timba
Ada pula yang berkata, "Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, 'macam perigi mencari timba', 'wanita tidak bermaruah' dan macam-macam lagi." Sabar dahulu saudari.
Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.
Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda. Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah.
Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.?
Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita. Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. Maka pihak lelaki boleh masuk meminang.
Indahnya Cara Islam
Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani. Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan itu.

BeRtUnAnG spt BoOkiNg KeReTa BaHaRu ...

Agak janggal juga kalau dalam seratus peserta kursus praperkahwinan ada yang datang secara berseorangan. Hal ini kerana biasanya peserta itu datang berpasangan dengan tunang masing-masing. Malah ada sesetengah tempat yang membiarkan pasangan itu duduk berdekatan dalam dewan kursus.
Inilah realiti hari ini yang sukar diubah dalam pemikiran umat Islam, "ini tunang saya". Bayangkan kalau ke tempat kursus praperkahwinan pun mereka boleh datang secara begitu, apalah halangan untuk mereka berbuat begitu untuk shopping, berdating dan menonton wayang. Apakah dengan bertunang membolehkan mereka berbuat begitu?
Jelas di sini, mereka tidak faham kedudukan tunang dalam Islam, bahkan ibu bapa juga tidak faham hukum Islam secara tepat. Oleh sebab itu, sering kita lihat dan dengar ibu bapa yang berasa risau kalau tunang anaknya tidak datang menjengok anaknya pada hujung minggu. Malah ada ibu bapa yang menyuruh anaknya keluar dengan tunang pada hujung minggu.
Hakikat Bertunang
Bertunang hakikatnya satu perjanjian persetujuan untuk berkahwin. Apabila kedua-dua belah pihak bersetuju maka satu tanda ikatan dimeterai bersama. Sebagai tanda ikatan pihak lelaki dan perempuan akan saling menyarungkan cincin pertunangan dan ada juga yang memberikan hadiah lain.
Pada pandangan anda, apakah dengan persetujuan ini, sudah ada ikatan rasmi? Atau apakah hubungan mereka sudah semakin bebas?
Bagi memudahkan kita memahami stuasi ini, suka saya membandingkan pertunangan dengan "booking kereta" sewaktu kita bersetuju untuk membelinya di bilik pameran kereta tersebut. Biasanya syarikat kereta itu akan meminta RM500 - RM1000 sebagai wang pendahuluan tanda jadi.
Kalau kereta yang dimaksudkan itu sudah ada di dalam bilik pameran, mungkin proses pembeliannya hanya akan selesai dalam tempoh seminggu. Tetapi kalau belum ada, mungkin sebulan atau lebih bergantung kepada tempahan.
Walau bagaimanapun, untuk membolehkah kereta itu dikeluarkan, pembeli perlu membayar 10 peratus daripada harga kereta tersebut dan bakinya akan diselesaikan oleh bank. Kemudian apabila kereta itu sudah didaftarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), barulah pembeli itu boleh membawa balik keretanya ke rumahnya.
Ya, berdasarkan proses di atas, bolehkah si pembeli yang baru memberi RM500 atau RM1000 itu, masuk dalam kereta tersebut dan membawa keluar dari bilik pameran? Setahu saya, tidak dibenarkan. Dia hanya boleh masuk untuk duduk dan memegang stering dan mendengar enjin sahaja, selebihnya tidak boleh. Tetapi kalau kereta terpakai (usecar), jurujual boleh membenarkannya untuk memandu dengan syarat jurujual itu duduk di sebelahnya.
Bayangkan kalau baru booking kereta, begitu kedudukannya, apa pula hukumnya seseorang yang baru bertunang yang hanya sekadar menyarung cincin pertunangan. Jadi, pertunangan dalam Islam sepatutnya mencontohi proses di atas. Sebab itu dalam Islam tempoh pertunangan tidak digalakkan terlalu lama.
Dalam tempoh pertunangan itu terdapat beberapa perkara yang diharuskan. Antaranya ialah:
1. Perhubungan pasangan itu hanya boleh dilakukan di rumah perempuan dengan ditemani oleh mahramnya. Ini bermakna, kalau lelaki membawa kakaknya sebagai teman tidak memadai.
2. Jika lelaki mahu membawa keluar tunangnya, perlulah dibawa bersama ibu atau bapa perempuan itu atau sekurang-kurangnya abang atau kakak perempuan tersebut.
3. Dalam tempoh pertunangan mereka boleh saling mengenali antara satu sama lain untuk mencari keserasian.
4. Dalam keadaan apa sekalipun sentuhan baju tunang adalah dilarang apatah lagi menyentuh kulit termasuk tangan.
5. Tidak digalakkan pasangan tunang itu bermalam dan tidur di rumah pasangan masing-masing walaupun dalam bilik berasingan.
Syariat Dipertahankan
Islam menyediakan peraturan syariat adalah untuk menjaga maruah diri dan keluarga tunang sebelum mereka berdua disatukan. Hakikatnya peraturan ini bukan bertujuan menyusahkan umat Islam. Malah sekatan dalam pertunangan itu boleh menjadikan mereka teruja untuk menunggu tarikh perkahwinan sebenar.
Bayangkan kalau pasangan itu sudah hidup seperti suami isteri dalam tempoh pertunangan, apakah mereka akan teruja dengan tarikh tersebut. Pada mereka, tarikh itu tidak penting lagi kerana kehidupan suami isteri sudah pun bermula. Malah jangan terkejut, ada kes seperti ini, yang lelaki bertindak memutuskan pertunangan atas alasan bakal isterinya tidak dara lagi.
Jelas di sini batasan yang dibuat ini adalah untuk keselamatan masa depan pasangan itu. Apa tidaknya, sebelum akad nikah pasangan itu masih suci, tidak ada dosa sentuhan, tidak ada dosa besar sama ada khalwat atau zina, tidak mencemarkan nama baik keluarga dan Islam. Jadi, pada waktu akad nikah mereka berdua adalah orang yang bersih di sisi Allah dan manusia.
Tetapi tahukah anda, jika sesuatu pasangan yang bertunang itu tidak mampu untuk mempertahankan syariat di atas, kehidupan mereka setelah berkahwin tidak begitu harmoni kecuali mereka benar-banar bertaubat sebelum diakadnikahkan. Allah yang maha pengampun bersedia mengampunkan dosa mereka jika mereka serius memohon keampunan kepada Allah.
Penguatkuasaan Dari Dalam
Demi maruah diri, keluarga, dan Islam, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak sebelum bertunang tentang hukum ini agar mereka tidak melanggar syariat sesuka hati. Saya percaya, anak-anak akan mudah memahami dan menghormati peraturan ini jika ibu bapa dapat menunjukkan contoh yang terbaik dalam urusan ini.
Selain itu pihak penganjur kursus pra-perkahwinan seharusnya mengenakan syarat kepada peserta agar mematuhi kehendak syariat. Mereka boleh dibenarkan membawa pasangan, tetapi mereka perlu diberi penjelasan tentang hukum ini. Dan dalam dewan pula, kedudukan mereka perlu dipisahkan termasuk dalam dewan makan.
Tidak kurang penting juga, pihak Penolong Pendaftar Nikah (PPN) yang setiap hari dikunjungi pasangan tunang untuk memohon perkahwinan, sebaiknya mereka itu dinasihatkan agar mematuhi hukum di atas. Teguran PPN ini penting sebagai ilmu asas sebelum mereka berkahwin. Malah sebaiknya ajarkan mereka supaya bertaubat sebagai persiapan sebelum diijabkabulkan.
Saya percaya kalau semua ini dapat difahami dan dilaksanakan oleh pihat terbabit, umat Islam akan terbina maruahnya kembali setelah selama ini dicemarkan oleh umat Islam sendiri.

Wednesday, March 16, 2011

SeLoKa CiNtA PuTeRi RaJa ...

Pada zaman dahulu, tinggallah seorang puteri raja yang cantik jelita bernama Puteri Balqis. Puteri Balqis ada seorang inang yang sangat rapat dengannya. Sudah 30 tahun Inang menjaga Puteri Balqis. Inang sangat kasih akan Puteri Balqis.

   Pada suatu hari, Inang melihat Puteri Balqis menangis sendirian di tempat peraduannya sambil menatap ke arah sebuah buku kecil. Inang menghampiri Puteri Balqis lalu duduk di sebelahnya.

Wahai Puteri cantik jelita
Mengapa sedih bermuram durja
Buku di tangan apa cerita
Bolehkah kiranya hamba bertanya?

   Puteri Balqis mengangkat kepalanya lalu menatap wajah Inang. Tidak berhenti juga Puteri Balqis menangis. Inang juga merasa sedihnya. Dengan suara yang sebak Puteri Balqis menjawab.

Wahai Inang ibunda beta
Ke mana hilang Putera Raja
Satu purnama tiada berita
Sudahkah dia lupakan beta?

   Puteri Balqis menatap kembali ke arah buku kecil tersebut. Hanya dia dan Inang tahu apa isinya.

Buku kecil saksi cinta
Puteri Balqis, Putera Raja
Dalam helaian tersimpan rahsia
Kenangan manis indah bersama

   Puteri Balqis masih lagi menangis. Sedih hatinya kerana Putera Raja tidak lagi mahu menghubunginya walaupun sudah beberapa kali dia ke istana untuk menemuinya. Inang mengusap lembut rambut Puteri Balqis yang hitam, ikal mayang.

Wahai Puteri permata hamba
Tidakkah dulu hamba berkata
Jangan percaya pada Putera
Manis kata di bibir sahaja

   Semakin sedih Puteri Balqis apabila mendengarkan kata-kata Inang. Mungkin selama ini dia telah silap. Silap kerana tidak mahu mendengar pesan Inang. Puteri Balqis baring di dalam pangkuan Inang lalu berkata

Wahai Inang pujuklah beta
Kenapa tidak menghantar berita
Rindu sekali ingin bicara
Seperti dahulu sedia kala

   Inang juga sudah kehabisan kata-kata. Inang sedih kerana Puteri Balqis yang sangat disayanginya sedih. 

Wahai Puteri apalah daya
Putera ingin sahabat sahaja
Manis mulut kerana terbiasa
Sedangkan niat tidak ke mana

   Puteri terus-terusan menangis. Basah sudah kain Inang dengan air matanya. Ditatap semula buku kecil itu. Berderai lagi air mata Puteri Balqis. Sedih mengenangkan segala kenangan bersama Putera Raja yang disimpan di dalamnya   

Andai tahu ini jadinya
Andai dulu dengar katanya
Tidaklah beta siksa di jiwa
Menunggu cinta tiada balasnya

Tinggal beta menanggung rasa
Setelah cinta ditabur semua
Inikah balas kepada beta
Kerana ingkar arahan Pencipta?


Manis mulut menabur bicara
Lembaran dosa terbuka semua
Putera Raja jadi dalangnya
Kepada beta yang lemah jiwanya

Wahai Inang pengubat duka
Apakah sakit ada ubatnya
Berikan saja kepada beta
Biar beta lupa semuanya


   Inang tersenyum lalu memandang Puteri Balqis. Puteri Balqis sudah dewasa. Sudah layak kenali cinta. Namun, sudah salah pada tempatnya. Kerana itu Puteri Balqis menangis sekarang. Sambil menyeka lembut air mata Puteri, Inang pun berkata

Sakit ini namanya cinta
Anugerah dari Yang Maha Esa
Usah dibuang simpanlah saja
Buat pedoman di hari muka

Putera Raja baik orangnya
Di sisi Puteri pantas tempatnya
Namun jodoh tiada restunya
Putera Puteri tidak bersama

Kini Puteri sudah dewasa
Sudah mengerti apa ertinya
Carilah cinta Yang Maha Esa
Duka lara Dialah ubatnya

   Senang hati Puteri Balqis setelah mendengarkan nasihat Inang. Kini, dia sudah mengerti. Khilaf dahulu takkan diulang lagi.

Terima kasih Inang setia
Nasihat berguna pegangan beta
Di dalam hati tempat untukknya
Supaya beta ingat sentiasa

Cinta indah anugerah dari-Nya
Buat beta seluruh manusia 
Tidak lagi beta terpedaya
Pada manis mulut bicara

Janji setia Putera Raja
Beta lupakan di sini saja
Kini beta berjanji setia
Pada Dia satu-satunya

   Inang pun tersenyum gembira. Puteri Balqis tidak lagi bermuram durja. Buku kecil sudah menjadi abu, dimakan api yang sehangat-hangatnya. Semoga Puteri Balqis menemui Putera sebenar yang akan membahagiakan hidupnya dan membawa dia meraih cinta-Nya lalu sama-sama ke syurga. Amin.


MiStErI CiNtA AiSyAh ..

Menarik. Cukup Islamik. Ada sinar muslimah dipancarkan melalui setiap kata-kata serta tulisannya. Sinar yang menerangi hati-hati yang dibelenggu kegelapan. 
   Tidak pernah seumur hidup Aiman menemui seorang wanita yang dirasakannya cukup mulia. Meskipun wanita itu tidak pernah dia temui, tidak pernah dia mendengar tutur bicaranya, tidak pernah dia menatap wajahnya, Aiman punya keyakinan yang sangat tinggi terhadap wanita tersebut. Keyakinan dan keteguhan dalam setiap kata-kata mahupun suara yang dilemparkan ke dalam setiap coretan serta hasil nukilannya cukup menarik hati Aiman. Dia wanita berprinsip. Dia wanita berpendirian. Dia mujahidah sejati.
   " Assalamualaikum... Maafkan saya kerana menganggu. Saya cuma ingin tahu nama saudari. Andai tidak keberatan di pihak saudari."  Cukup berhati-hati. Setiap kata disusun dengan sempurna. Aiman tidak mahu pula nanti maruahnya jatuh di hadapan seorang wanita teguh yang sentiasa berani menyuarakan apa saja suara hatinya melalui setiap hasil nukilannya. Niatnya tidak lebih dari sekadar ingin mengenali penulis berprinsip itu.

    
" Aisyah. Aisyah Solehah." Cukup pendek. Jawapan yang memang sudah dijangkakan oleh Aiman sendiri. Mesej yang dihantar melaui "facebook" itu dibiarkan tidak berbalas. Rasanya, Aiman sudah dapat apa yang diinginkan. Maka, cukuplah sampai di situ sahaja. Dia cuma ingin mengetahui nama wanita itu.
      Saban hari Aiman memikirkan nama itu. Sesekali akal lelakinya memesongkan hati yang kosong itu. Siapakah wanita itu? Bagaimana pula orangnya? Mengapa misteri sekali wanita itu? Bersembunyi di sebalik nama insan lain dan tidak pernah pula ada yang mengetahui identiti sebenarnya. Tidak Aiman, tidak kawan-kawannya, tiada sesiapa. Wallahualam. 
   " Dia online!" Hati lelakinya berdegup kencang. Entah mengapa. Setiap kali dilihatnya nama itu terpapar di skrin komputer, pasti jiwa Aiman mula jadi kacau. Berpeluh-peluh dia menahan jari-jemarinya yang lincah daripada menganggu wanita mulia itu. Dia lelaki bermaruah. Tidak mungkin baginya menjatuhkan maruah sendiri dengan mengganggu seorang wanita andai tidak ada urusan dan keperluan tertentu. 
   Sikap rakan-rakan lain yang menjadikan agama sebagai modal mendekati kaum wanita yang kelihatan agak "jual mahal" cukup tidak menyenangkan hati Aiman. Puas sudah Aiman menasihati sahabat-sahabatnya supaya berhenti menjual agama, namun apa boleh buat? Setakat ini, itulah taktik yang didapati paling berkesan jika ingin melembutkan hati seorang perempuan yang teguh. Seteguh Aisyah Solehah.
   "Setelah dilembutkan hatinya, barulah mudah untuk ditawan! Kemudian, boleh saja menukar topik perbualan. Jual topik lain pula. Takkan nak jual agama saja. Lama-lama, pasti bosanlah dia!" 
   "Astarghfirullahalazim......"  Beristighfar panjang Aiman tatkala mendengarkan penerangan "direct selling" daripada salah seorang sahabat yang cukup dikenali dengan gelaran "buaya darat" meskipun orangnya merupakan lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang cukup petah tatkala berbicara mengenai soal agama. Inilah yang dikatakan bahaya perempuan. Andai sudah terjebak, pasti iman dan akal luntur semua. Namun, tidak akan sekali-kali Aiman berbuat begitu. Tidak pada Aisyah Solehah, tidak juga pada wanita-wanita lain. 
   Sudah semusim berlalu. Musim bunga yang mengunjungi negara matahari terbit itu begitu  indah sekali. Kelihatan kehijauan dan berwarna-warni di sana sini. Sudah 5 tahun Aiman berada di negara metropolitan itu. Sudah 5 tahun juga dia meninggalkan Malaysia. Sudah 5 tahun juga dia tidak menatap hasil nukilan Aisyah. Apakah yang sudah terjadi padanya kini? Sudah berjayakah dia? Sudahkah dia menerbitkan bukunya sendiri seperti yang pernah diuar-uarkan suatu ketika dahulu? Aiman langsung tidak tahu. Dia juga tidaklah ingin benar tahu. Cuma sesekali persoalan-persoalan tersebut singgah di fikirannya.


   " Dia online!" Berdegup lagi hati kecil Aiman. Mengapa setelah pulang ke Malaysia baru dia dapat melihat nama itu di skrin komputernya? Mengapa tidak di Jepun dahulu? Sedangkan, hampir setiap hari dia melayari internet dan mengisi masa senggang dengan menghubungi sahabat handai di Malaysia melalui "facebook". Aneh. Wanita itu memang misteri.


   Namun, di sebalik segala rahsia dan sikap misteri yang ditonjolkan, masih tidak sirna cahaya muslimah yang dipancarkan. Di sebalik benteng yang melindungi diri, masih tidak terlindung cahaya solehah yang dimiliki oleh wanita itu. Sentiasa gemilang cahayanya. Itulah yang membuatkan Aiman tambah tidak keruan. Cahaya itu begitu dekat dengannya. Seolah-olah sedang memanggilnya. Jiwanya tidak mungkin akan tenang selagi tidak mengenali wanita itu lebih lanjut lagi.


   Apa yang harus dilakukan kini? Wanita seperti Aisyah Solehah tidak mugkin boleh senang-senang ditemui. Dia harus segera menyatakan hasratnya. Sejujurnya, dia sendiri masih belum pasti akan hasratnya itu. Berkawan sahaja? Tidak mungkin! Bukan itu yang dia rasa di hatinya. Ada sesuatu yang lain yang dibawa oleh wanita itu? Bercinta? Pastilah bukan! Mana mungkin cinta buat seorang isteri dia serahkan kepada wanita itu. 


   " Siapa pula cakap tidak boleh? Boleh saja. Tapi, dengan satu syarat. Nikahi wanita itu. Jadikan dia milikmu."  Itulah konklusi yang dibuat oleh Azam tatkala Aiman menyatakan keresahannya.


   Aiman mengangguk perlahan. Dia kini sedang berkira-kira sebenarnya. Menikahi seorang wanita yang langsung tidak dikenali. Tidak sedikitpun. Hanya cukup dia mengenalinya melalui setiap tulisan dan prinsipnya yang teguh. Namun, cukupkah sekadar begitu sahaja? Paling kurang pun, dia harus melihat sendiri orangnya. Bukan kerana paras rupa yang menjadi pilihannya, tapi kerana dia tidak mahu menyesal di kemudian hari. Walau apapun rupanya dia, Aiman tidak akan memilih. Cukuplah sekadar agama menjadi pegangan hidupnya. " Yang penting agama..."  Azam menyambung lagi.


   Keputusannya sudah bulat. Dia akan melamar wanita itu sendiri. Namun, dia harus menemuinya dahulu. Cintanya akan diberikan kepada wanita itu andainya wanita itu cinta pada Pencipta-nya. Itu yang pasti. 


   " Assalamualaikum...Maafkan saya kerana mengganggu sekali lagi. Tujuan saya kali ini dengan hajat yang lebih besar lagi. Andai dulu saya meminta untuk bertanyakan nama saudari, kini saya ingin meminta hati saudari.Tidak perlu rasanya saya ulas dengan lebih lanjut lagi kerana saya yakin bahawa saudari bukan wanita senbarangan. Pasti saudari juga tahu maksud serta cara saya kerana pada pandangan saya, prinsip kita sama. Saya yakin bahawa saudari adalah insan yang paling layak membantu perjuangan saya melebarkan agama-Nya". 


   Sedikit gugup tatkala butang "send" ditekan. Hampir setengah jam Aiman menunggu balasan daripada Aisyah. 


   " Andainya sudah bersedia di hati saudara untuk menerima wanita yang belum tentu baik buruknya, belum  tahu paras rupanya, belum kenal akhlak peribadinya, saya juga akan menyediakan hati ini. Jadikanlah saya halal untuk saudara semai cinta saudara, halal untuk saudara bentuk rupa serta akhlaknya, halal untuk saudara semai benih-benih cinta sehingga lahirnya zuriat yang soleh dan solehah, serta halal untuk saudara pimpin tangannya ke syurga firdausi."


   " Subhanallah!" 


   Jawapannya begitu meyakinkan. Sesedia apa Aiman menerimanya sebagai zaujah yang akan dia pimpin, sesedia itu jugalah Aisyah menerima pemimpin itu. Tidak ada kata-kata lain yang mampu menggambarkan kegembiraan Aiman di kala itu. Sujud syukurnya pada Allah kerana dipertemukan dengan seorang wanita mulia yang kini akan membawa cahaya raudhah itu ke dalam hidupnya. Istikharah sudahpun dijawab. Musyawarah menyimpulkan akad. Berbekalkan alamat yang telah diterima, Aiman dan Azam pergi sendiri ke rumah wanita itu setelah seminggu berlalu.


   Sudah setengah jam berada di dalam rumah itu. Masih tidak terlihat kelibat wanita muda yang Aiman rasakan Aisyahlah orangnya. Hanya ada seorang wanita tua menyambut kedatangan mereka berdua sebentar tadi. Aiman masih tetap bersabar. Tidak mungkin dia mengakhiri perjuangannya setelah hampir 6 tahun dia menuggu saat-saat kemenangan itu.


   Wanita itu keluar dengan membawa minuman sebagai penyempurna adat menyambut tetamu. Sekeping gambar kecil dihulurkan kepada Aiman. 


   " Itulah Aisyah Solehah. Anak Mak Cik". Perlahan sekali suara itu. Wajah tuanya masih cuba mengukir senyuman meskipun kedut-kedut itu tidak mungkin mampu dibendung lagi.


   " Subhanallah! Cantik sekali wanita ini. Wajahnya setenang air tasik yang sejuk mata memandang. Alhamdulillah..." Syukur Aiman pada Allah kini kerana wanita itu bukan sahaja cantik akhlaknya, tapi juga cantik parasnya.


   " Aisyah anak mak cik satu-satunya. Dia anak yang baik. Mungkin kerana anak itu terlalu mulia, lantas Allah jadi rindu padanya lalu dia dijemput dahulu....."  Ada air mata mengalir lewat mata tua itu.




   Aiman terkedu. Gambar kecil itu terlepas dari pegangannya. Jari-jemarinya kini terasa dingin sekali. Bagaikan sudah beku. Azam juga tidak kurang seperti Aiman. Hakikat bahawa Aisyah Solehah itu sudah tidak ada lagi di dunia ini sukar sekali diterima. Namun, apa yang lebih sukar untuk diterima ialah.... Jika Aisyah Solehah sudah pergi, siapa pula yang membalas setiap mesej Aiman sebelum itu????????????


   Alhamdulillah...selesai lagi satu cerita..aishhh...saya tulis, saya pula yang rasa tak sedap badan kat sini. cuba bayangkan...kalau kita chat or mesej dengan orang hanya untuk mengetahui yang orang itu sudah tak ada lagi..mesti rasa pelik kan? well, itu hanya sekadar bonus pada cerita kali ini saja.


apa yang saya nak cakap sebenarnya ialah....adab bila sudah jatuh cinta pada seseorang. nak zahirkan cinta? boleh saja...kata azam..tapi, kenalah halal dulu....ekot macam cara aiman. tak perlu berkenalan sampai berlebihan kerana kadang-kadang dan selalunya mengundang bahaya. taaruf pun dah cukup baik. kalau ada orang tengah yang boleh kita percayai(sebaiknya orang yang sudah berkahwin) , boleh juga membantu kita mengenalinya dengan lebih baik..kalau nak,,kenalah buat dengan cara yang betul..kalau nak juga,,tapi tak nak buat cara yang betul..dosa,,, sendiri dapat....


SePuCuK SuRaT ...

" Assalamualaikum WBT........
   Buat teman yang kukasihi. Apa khabarmu di sana? Aku di sini sihat alhamdulillah. Syukur ku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana atas limpah kurnia-Nya, masih lagi aku bernafas sehingga ke hari ini untuk ku layarkan sejuta kerinduan kepadamu melalui coretanku ini.
   Sudah seminggu berlalu dan hanya pada Allah sahaja aku kirimkan doa agar kalian semua sentiasa bahagia dan ceria meskipun tanpa kehadiranku di sisi. Pemergianku kali ini adalah kerana suatu tuntutan yang suatu hari nanti akan dipersoalkan di akhirat kelak. Aku ingin mencari ilmu, menyemai benih-benih ketaqwaan buat insan-insan yang masih lagi dibelenggu kejahilan.
   Sungguh ilmu yang luas ini milik Allah semata dan atas kerana itu, bertebaranlah kita semua di muka bumi ini mencari dan menuntutnya. Moga-moga niat kita ikhlas kerana-Nya semata agar dapat kita mencapai redha-Nya.
   Harapanku agar kita dipertemukan lagi suatu hari nanti dalam keteguhan dan keindahan ukhwah yang semakin mekar bercambah setelah kita tabur baja kasih sayang ke dalamnya. Atas segala kelemahan, kekurangan, kesilapan dan kesalahan, sepuluh jari ku susunkan memohon sepenuh pengertian dan keikhlasan dalam memaafkan. Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindungan dan rahmat-Nya selalu. Amin.
   Yang merinduimu,
         Safwan
   Surat yang bersampul putih itu dilipat kemudian dimasukkan semula ke dalam sampulnya yang masih kelihatan baru meskipun telah sebulan ia tersimpan rapi di dalam almari. Betapa Hakim rindu akan sahabatnya itu sehingga hampir setiap hari surat itu ditatap dan dibaca tanpa rasa jemu sedikitpun. Sudah hampir tiga tahun Safwan tidak pulang ke kampung. Namun, tidak pernah sekalipun Safwan lupa mengirimkan berita kepada sahabat handai dan keluarga tercinta. Safwan memang seorang pemuda yang baik meskipun dia tidaklah sebijak seorang doktor, ataupun sepetah seorang peguam.
   Safwan dan Hakim merupakan pemuda kampung yang sangat aktif. Hati keduanya tertaut kepada masjid dan hanya pada ilmu Allah cinta dipersembahkan. Tidak lupa juga kepada anak-anak muda lain yang turut menjadikan keduanya sebagai suri teladan yang sememangnya turut disenangi oleh orang-orang masjid dek kerana keindahan serta keterpujian akhlak keduanya.
   Sebagai seorang pemuda yang bakal menjadi raja kepada istana yang bakal dibina suatu hari nanti, Safwan tidak pernah gagal membuktikan dirinya sebagai seorang anak soleh yang berbakti kepada kedua-dua orang tuanya. Statusnya sebagai anak angkat tidak pernah dia jadikan alasan untuk berbuat baik kepada kedua insan yang kini dia anggap seperti ibu dan ayah kandung sendiri. Sebaliknya, seluruh bakti yang dicurahkan adalah tulus kerana kasihnya kepada insan-insan tersebut atas kehendak Yang Maha Esa jua.
   Dibesarkan dalam keluarga sangat menitik beratkan perihal keagamaan,  Safwan seringkali merantau bersama rakan-rakan seperjuangan untuk menuntut ilmu agama di samping menyampaikan sedikit ilmu yang tersimpan rapi di dada. Andai ada peluang dan kemampuan, pasti dia akan melebarkan ilmunya dan kemudian bertukar pendapat dengan insan-insan lain yang turut memperjuangkan ilmu di jalan Allah.
   Sikapnya yang cukup menjaga pergaulan dan batas-batas dalam agama menjadi sebab kepada kekaguman seluruh penduduk kampung yang mengenalinya. Ilmu yang tinggi tidak pernah menjadikan Safwan terlalu tinggi sehingga merendahkan orang-orang lain di sekelilingnya. Sebaliknya, ilmu yang ada menjadikan dia lebih merendah diri kerana sesungguhnya Safwan tahu bahawa, andai bukan kerana kehendak Allah jua, tidaklah dia menjadi seperti dirinya pada hari ini.
    Tepat pukul 1 pagi. Safwan dan teman-temannya baru sahaja pulang daripada menghadiri beberapa majlis ilmu yang diadakan serentak pada malam yang sama. Meskipun agak kepenatan, Safwan tetap berpuas hati kerana sesungguhnya pada hari itu, bertambah lagi ilmu di dada atas izin Allah dan itu bermakna, ada lebih banyak ilmu yang boleh dikongsi bersama nanti.
   Sejak berpindah ke bandar, Syazwan menjadi lebih aktif dan giat dalam bidang agama. Pertemuan dengan seorang teman yang turut berjihad di jalan yang sama cukup membuatkan dia bersyukur kerana perjuangannya di tempat baru tidaklah bersendirian.  Jika dahulu, ilmu yang ada cukup cetek sekali. Sukar sekali baginya membantu teman-teman lain di kampung kerana dia sendiri pun masih sangat jahil. Namun, segala-galanya sudah berbeza kini. Dengan izin Allah, dapat juga dia pergi jauh dan menuntut ilmu dengan lebih mendalam lagi. Dihadirkan pula seorang teman yang tidak pernah kedekut untuk berkongsi ilmu dan sentiasa memperbetulkan kesilapannya, Syazwan kini sudah menjadi insan yang lebih baik. Kedua-duanya cinta kepada ilmu dan di mana ada majlis agama, pasti di situ ada keduanya. Kadangkala, sifat dan peribadi Rosyam benar-benar mengingatkan Syazwan kepada Hakim. Kedua-duanya sangat serupa. Sesekali, terubat jua rindunya kepada sahabat handai di kampung apabila bergerak bersama Rosyam.
   " Syam...." perlahan bisik Safwan di suatu petang yang tenang.
   " Ada apa? Macam serius je? Dari pagi tadi lagi kau dah diam macam ni. Ada masalah kat kampung ke?"
Rosyam yang sememangnya sangat sensitif segera terkesan akan keresahan pada sahabat baiknya itu. Buku yang ada di atas meja ditutup dan perhatiannya kini diberikan sepenuhnya kepada Safwan.
   " Apa pendapat kau kalau aku kahwin sekarang?". Safwan kelihatan tenang sekali. Angin yang meluru masuk melalui jendela sungguh menenangkan.
   " Kahwin?! Kenapa tiba-tiba je ni? Kau dah ada calon ke? Selama ni, aku tak pernah pun tengok kau berhubung dengan mana-mana perempuan kat kampus ni. Macam mana pulak kau boleh cakap pasal kahwin ni? Ke.....Mak kau dah ada calon untuk kau kat kampung?" Rosyam mula tersenyum sinis. Dikiranya Safwan itu lelaki yang pendiam. Rupa-rupanya, diam-diam ubi berisi!
   " Bukanlah. Aku ada calon sendiri. Cuma, aku tak pernah kasi tahu kau dengan kawan-kawan yang lain je. Tak nak kecoh-kecoh". Safwan masih lagi tenang. Pandangannya terus dilemparkan ke luar jendela. Ada sedikit rasa malu dalam dirinya yang menghalang dia untuk menatap wajah Rosyam yang asyik tersengih-sengih setelah isu kahwin itu dibicarakan.
   " Maju dah engkau sekarang ya. Ada calon tak nak kasi tahu aku pun. Siapalah perempuan yang bertuah yang berjaya mencuri hati kau tu? Ingin juga aku nak tahu. Lepas tu, baru aku bagi pendapat aku." Ada sedikit nada menggertak pada kata-katanya. Rosyam sememangnya suka mengusik sahabat-sahabatnya. Sikapnya yang peramah dan periang menjadikan dia sangat disukai oleh pelajar-pelajar lain di kampus.
   "Aku pun tak tahu dia siapa. Aku baru je jumpa dia semalam. Ingat lagi tak? Kita singgah kat masjid semalam untuk solat maghrb dan isyak. Kat masjid tulah aku jumpa dia." Safwan kini lebih serius. Dahinya berkerut-kerut mengingati kisah semalam.
   Seorang wanita yang dilihatnya di masjid itu terus saja menarik perhatiannya. Meskipun terdapat ramai wanita di masjid itu pada malam itu, hanya wanita itu sahaja yang dapat dtangkap oleh matanya. Begitu wanita itu menarik perhatiannya sehingga tidak terlihat lagi olehnya akan wanita-wanita yang lain. Tidurnya malam itu juga tidak tenang. Wajah wanita itu terus-menerus muncul di fikirannya. Sejujurnya, dia tidak pernah rasa begitu dan dia tidak ingin terus begitu. Dia tahu bahawa apa yang dilakukannya itu salah. Tapi, segala-galanya di luar kawalan. Oleh itu, sebaiknya wanita itu dia jadikan isteri sahaja sebelum dia menzahirkan perasaannya dengan perbuatan yang terlarang.
   " Tak tahu? Macam mana kau nak kahwin dengan dia kalau kau tak tahu siapa dia? Kau ni peliklah. Paling kurang pun, kau mesti tahu nama dan pernah lihat wajahnya."  Kata-kata Rosyam terhenti di situ. Dia tidak mahu terus berbicara lagi. Kadangkala, sikap pelik Safwan benar-benar membuatkan dia pening kepala.
   " Syam! Itu dia! Dia kat tepi tangga tu."  pantas Safwan menarik tangan Rosyam yang baru sahaja mematikan enjin motorsikalnya. Kemudian ditunjuk ke arah wanita yang baru sahaja memasuki masjid di hadapannya. Wanita itu menoleh ke arah keduanya sekilas. Mungkin kerana terdengar akan suara Safwan yang agak kuat sebentar tadi.
   " Ohhhhhh....Asyikin! Aku kenal dia tu. Satu kampus dengan kita la..."  Ada nada terkejut pada kata-katanya. Agak mengejutkan bila seseorang seperti Asyikin ada yang mahu. Bukan kerana wanita itu tidak cantik, tetapi kerana wanita itu terkenal dengan sikap pendiam dan agak garang orangnya. Orangnya juga " low profile". Tidak suka menonjolkan diri dan sangat tidak suka akan keadaan yang riuh rendah. Kerana itu dia kerapkali kelihatan menelaah di perpustakaan. Keadaan di dalam bilik kuliah yang sangat bising menjadikan dia rimas.
   Berjam-jam Safwan bertemu Allah malam itu. Dia ingin meminta petunjuk mengenai keputusannya untuk mengahwini Asyikin. Dia yakin bahawa Asyikin tidak akan menolak lamarannya kerana melalui cerita Rosyam, dia tahu bahawa Asyikin adalah wanita yang baik. Walaubagaimanapun, terlintas kembali di fikirannya akan pesan ibu dan ayah sebelum dia ke bandar untuk melanjutkan pelajarannya 3 tahun yang lalu.
   " Belajar rajin-rajin nak. Mak percaya pada kau. Jangan hampakan mak dan ayah. Belajar sungguh-sungguh. Dan.....Ingat....Kau dah dewasa. Mak faham. Mesti kau akan berkenan pada kaum lawanmu nanti. Tapi, nasihat mak, belajarlah dulu. Bila kau sudah lebih bersedia, mak tak kisah kalau kau nak kahwin pun. Perkahwinan ni suatu urusan yang besar. Bukan main-main. Dan, kalau boleh, elakkan daripada bercinta. Kerana jika sudah bermula, perlu diambilkira juga penghujungnya. Mak risau pelajaran kau akan terabai. Ingat Syazwan. Mak berharap pada kau. Mak harap kau dapat sambung perjuangan ayah kau di jalan dakwah. Itu yang paling penting."
   Safwan menghembuskan nafas panjang. Sudah nampak di matanya kini. Perjuangan ayahnya harus diteruskan dan oleh kerana itu, dia mungkin terpaksa melupakan hasratnya untuk mengahwini Asyikin untuk sementara waktu. Dia sendiri juga masih belum mempunyai kerjaya yang bakal menjamin kehidupannya nanti. Jadi, tidak mungkin untuk dia menyiksa anak dara orang kerana ketidaksediaannya.  Safwan berasa lebih senang kini. Dia sudah mampu melihat matlamatnya. Dia pasti tidak akan mengecewakan kedua-dua orang tuanya.
   Ceramah agama yang diadakan di masjid pada malam itu sangat menyentuh hati seluruh insan yang mendengarnya. Safwan yang teguh selama ini turut mengalirkan air mata kerana keberkesanan cara penyampaiannya. Andai saja dia boleh memberikan ceramah seperti itu. Pasti setiap kata-katanya memberi kesan yang hebat di hati para pendengar.  Namun, ada keresahan bertamu di hatinya. Safwan merasa tidak tenang. Sekejap duduk, sekejap berdiri. Entah mengapa. Selesai saja ceramah tersebut, hatinya menjadi tidak keruan.

   Segera dia keluar untuk memperbaharui wudhuknya. Azan yang dilaungkan sedikit sebanyak memberikan ketenangan kepadanya. Namun, ketenangan itu sedikit demi sedikit menjauh apabila terdengar akannya esak tangis seorang wanita. Dilihatnmya keadaan sekeliling. Ada seorang wanita berjubah hijau sedang menangis. Hatinya jadi tidak keruan. Sifat pelindungnya memaksa dia untuk mendekati wanita itu dan bertanyakan masalahnya. Namun, masih ada rasa malu di dalam hati yang menghalangnya daripada mendekati wanita itu. Puas juga dia menahan diri di situ. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk menemui wanita itu. Perlahan-lahan dia menghampirinya.
   " Assalamualaikum saudari. Mengapa menangis sendiri di sini? Mungkinkah ada masalah yang boleh saya bantu?"  Perlahan sahaja bicara Safwan. Sejujurnya, dia ingin segera berlalu dari tempat itu. Namun, tidak pula sampai di hatinya untuk meninggalkan wanita itu sendirian tanpa mengetahui masalahnya setelah dia bertanya akannya tadi. Lama dia menunggu untuk sebarang jawapan. Wanita itu masih tertunduk dan menangis. Kemudian, perlahan-lahan dia mengangkat kepalanya. Terlihatlah akan wajahnya yang sudah dibasahi air mata.
   Safwan terkejut sekali. " Asyikin!" Getus hati kecilnya. Terasa seram sejuk badannya kini. Tidak sanggup lagi rasanya berada di situ. Namun, kakinya terasa berat sekali untuk melangkah pergi. Asyikin masih tidak memberi sebarang jawapan. Sungguh hatinya terasa terusik setelah mendengar akan ceramah yang begitu mengharukan sebentar tadi. " Kasih Ibu Membawa Ke Syurga, Kasih Ayah Kekal Selamanya". Mendengar akan tajuknya sahaja sudah cukup membuatkan dia sedih. Sepanjang ceramah berlangsung, dia tidak berhenti-henti mengalirkan air mata. Kesunyian dahulu bertandang kembali. Masih dia ingat bagaimana dia ditinggalkan seorang diri di rumah selesai sahaja jenazah ayah dan ibunya dikebumikan. Pemergian keduanya atas sebab dan sakit yang hanya Allah sahaja yang tahu benar-benar membuatkan hidup kecilnya menderita. Sehingga dewasa, dia menanggung hidup sendiri tanpa ada yang sanggup membantunya.
   Asyikin meninggalkan kenangan pahit itu di tangga masjid. Segera dia melangkah semula ke dalam masjid kerana kelihatan wanita-wanita lain sudah membetulkan saf. Pertanyaan Safwan dibiarkan tidak berjawab. Dia sudah tidak mempunyai masa untuk dilengah-lengahkan lagi. Safwan juga segera masuk semula ke dalam masjid. Sempat juga Rosyam bertanya akan ke mana hilangnya dia sebentar tadi. Namun, segala-galanya terhenti apabila iqamat dilaungkan.
   " Kau ke mana tadi? Lama betul kau kat luar. Aku ingatkan kau dah pergi balik sini". Dalam kepenatan, Rosyam masih ingat lagi peristiwa di masjid sebentar tadi.
   " Aku.......Aku jumpa Asyikin kat luar masjid tadi. Dia menangis, Rosyam. Aku ingatkan nak tolong dia. Tapi, dia pergi macam tu saja. Aku tanya pun dia tak jawab. Aku masih tak senang hati ni. Kenapa dia menangis? "  Ada keresahan di wajahnya. Betapa hari sebelum itu dia sudahpun melupakan wanita itu. Namun, hari ini dia teringat lagi akannya dan gagal memburu wajah sedih wanita itu dari fikirannya.
   " Owh. Mungkin sebab ceramah tadi tu. Kalau kau nak tahu, dia tu anak yatim piatu. Ayah dan ibunya dah lama meninggal. Sebabnya, tiada siapa yang tahu. Dari kecil lagi dia hidup sendiri. Tiada yang membantunya pun. Dia dapat masuk ke kampus ni pun atas usahanya sendiri. Aku tak tahu sangat cerita dia ni. Tapi, itulah yang aku dengar daripada kawan-kawan yang rapat dengannya."  Panjang lebar penerangan Rosyam. Sesungguhnya, dia kagum akan wanita itu. Meskipun hidup menyendiri, dia masih kuat mendepani segala dugaan dan ujian yang didatangkan oleh Allah. Dia sendiri pun belum tentu boleh menjadi seteguh wanita itu.
   Safwan hanya mendiamkan diri. Kini, terbit rasa di hatinya untuk menjadi pelindung kepada wanita itu. Namun, dia sendiri cukup pasti bahawa dia belum bersedia lagi. Dirinya masih kurang di segenap segi. Apa yang harus dilakukannya kini? Patutkah dia menyatakan hasratnya dan meminta wanita itu berjanji setia sehingga masing-masing sudah bersedia atau patutkah dia melupakan segala-galanya di situ sahaja? Safwan menjadi berbelah bagi.
   5 tahun berlalu begitu sahaja. Safwan kini sudah berada di Timur Tengah untuk meneruskan perjuangan ayahnya di samping menambah ilmu di dada. Asyikin sudahpun dia tinggalkan di Malaysia beberapa tahun yang lalu. Segala-galanya dia serahkan di tangan Allah.  Lagipun, dia pasti dengan segala ketentuan-Nya. Kalau sudah jodoh, pasti Asyikin akan menjadi miliknya.
   Asykin pula sudah jauh mengejar cita-citanya di negeri orang. Dia kini berada di Afrika. Setelah melanjutkan pelajaran ke tahap Ph.D dalam bidang Sains, dia menubuhkan pasukan sukarelawannya sendiri. Sudah serata dunia dia jajahi dalam usahanya membantu insan-insan yang memerlukan. Dia juga sudah cukup terkenal dengan segala usahanya meskipun kerapkali dia cuba untuk mengekalkan dirinya berada di dalam keadaan tidak dikenali. Namun, usaha dan bantuannya sudah terlalu banyak sehinggakan serata dunia dia mendapat penghargaan.
   Sepanjang usaha membantu insan-insan lain di muka bumi ini, Asyikin tidak pernah lupa akan siapa dirinya dahulu. Allah sentiasa menemaninya di setiap langkah kakinya. Tidak pernah sekalipun dia melupakan Penciptanya yang paling agung itu. Sentiasa dia mengucap syukur kepada Allah kerana diberikan kekuatan untuk terus mencurahkan baktinya memakmurkan alam ini. Dan tidak lupa juga kepada sepucuk surat yang kini sentiasa ada bersamanya tidak kira ke mana pun dia pergi. Sepucuk surat yang datang daripada seorang teman yang  tidak dikenali. Sepucuk surat yang penuh berisi kata-kata dorongan dan semangat yang telah berjaya membuka hatinya yang pada ketika itu masih sangat lemah. Sepucuk surat yang datang dengan izin Allah dan atas kehendak-Nya jua, berjayalah dia sehingga ke hari ini.
   Surat itu dikeluarkan dari beg sanditnya. Dilihat akan sampul yang tertulis nama pengirimnya beberapa tahun yang lalu. Kemudian, dia tersenyum senang. " Terima kasih, Safwan." Kata-kata itu meniti bibirnya pada suatu petang yang tenang.