Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).

Monday, August 1, 2011

Sahabat Rasulullah - Amru Bin Al-As

Assalamualaikum ... 
Hari ni saya nk berkongsi sikit dengan kawam-kawan tentang salah seorang sahabat Rasulullah yang sangat dikagumi akhlaknya iaitu Amru Bin Al-As :- 
Riwayat hidup beliau:


- Amru bin Al-As dilahirkan sekitar setengah kurun sebelum Hijrah.
Sifat peribadi beliau:


- Amru r.a adalah merupakan salah seorang yang tergolong di dalam kalangan orang Arab yang cerdik serta salah seorang yang pintar, unik dan sangat ganjil.
- Amru bin Al-As adalah merupakan seorang yang lantang dan fasih bercakap.
- Beliau memiliki kemampuan berfikir dan berpandangan jauh.
- Bapa beliau pula iaitu Al-As bin Wail adalah merupakan seorang yang mempunyai ketokohan di kalangan bangsa Arab malah dia merupakan salah seorang pemimpin bangsa Arab pada zaman jahiliah.
- Amru bin Al-As telah meninggalkan sirah perjalanan yang sangat mengagumkan dan menyibukkan masyarakat dunia bertahun-tahun lamanya.
- Ketika sebahagian dari kalangan umat Islam berhijrah ke tempat raja Najasyi di Habsyah setelah mendapat keizinan daripada Rasulullah s.a.w, bangsa Quraisy tidak mempunyai orang yang paling layak untuk memujuk Najasyi supaya mengembalikan umat Islam yang telah berhijrah kecuali Amru bin Al-As untuk memikul tugas tersebut kerana mereka mengetahui bahawa beliau adalah merupakan seorang yang sangat pintar dan mempunyai hubungan yang baik dengan Najasyi. Tetapi apabila Najasyi mendengar kata-kata Amru bin Al-As kemudian mendengar pula kata-kata umat Islam yang berhijrah ke tempatnya, Najasyi merasa penuh yakin dan tenang serta memahami akidah kepercayaan mereka serta hatinya merasa tertarik kepada Islam menyebabkan dia memeluk Islam selepas itu.

Pengislaman beliau:


- Apabila Amru ingin pulang, Najasyi menyeru beliau supaya memeluk Islam sambil menjelaskan kepada beliau betapa besar kurniaan yang telah diberikan oleh Allah kepada bangsa Arab dengan mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang Rasul. Nasihat yang begitu berharga yang telah diberikan oleh seorang raja ternyata memberi kesan yang mendalam di dalam hati sanubari Amru bin Al-As menyebabkan dia mula tertarik kepada Islam dan akhirnya Allah membuka pintu hati beliau untuk menerima hidayat petunjuk Islam pada tahun 8 Hijrah.
- Amru telah berazam ingin musafir untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w di Madinah. Di tengah-tengah perjalanan beliau bertemu dengan Khalid bin Al-Walid dan Othman bin Talhah. Beliau mendapati mereka berdua juga mempunyai niat yang sama.
- Sebaik sahaja mereka bertiga masuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w, Khalid dan Othman terus berbaiah dengan baginda, sebaliknya Amru hanya menggenggam erat tangan baginda sahaja sehinggalah Rasulullah s.a.w bersabda kepada beliau: "Kenapa kamu ini wahai Amru?" Lalu beliau berkata: "Aku berbaiah dengan kamu sekiranya Allah mengampunkan dosa-dosa aku yang telah lalu." Kemudian baginda menjawab: "Sesungguhnya Islam dan Hijrah menghapuskan perkara-perkara yang telah lalu." Lantas Amru r.a terus berbaiah dengan baginda. Apabila Rasulullah s.a.w mengetahui kepintaran dan keperkasaan beliau, baginda terus melantik beliau menjadi panglima tentera Islam di dalam peperangan Zaat As-Salasil.

Perjuangan beliau pada jalan Allah:


- Selepas kematian Rasulullah s.a.w, Amru r.a mempunyai peranan penting di dalam memerangi golongan murtad pada zaman pemerintahan Sayidina Abu Bakar As-Siddiq.
- Manakala pada zaman pemerintahan Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a, pahlawan Islam Amru bin Al-As berjaya membuka Palestine dan Mesir malah kepentingan kedua-dua pembukaan ini tidak dapat dinafikan lagi kerana pembukaan Palestine dapat memberikan keamanan kepada kawasan persisiran pantai Syam terhadap umat Islam dan pembukaan Mesir pula berjaya memberi laluan untuk menuju ke Afrika, negeri-negeri di Moroko seterusnya ke Sepanyol selepas itu.
- Kecerdikan dan kepintaran Amru terlalu menyerlah di dalam pembukaan Mesir sehingga menakjubkan ahli-ahli sejarah termasuk dari kalangan bukan Islam terutamanya kebijaksanaan dan perancangan beliau yang begitu baik.

Di antara mutiara kata beliau dan seni sastera beliau:


- Lelaki adalah terdiri dari tiga kategori: Lelaki yang sempurna, lelaki yang bersifat separuh lelaki dan lelaki yang tidak bersifat lelaki. Lelaki yang sempurna adalah lelaki yang disempurnakan oleh Allah agama dan akalnya, apabila dia ingin membuat sesuatu keputusan, dia sentiasa meminta pandangan daripada orang-orang yang mempunyai pandangan menyebabkan dia sentiasa membuat keputusan yang tepat. Manakala lelaki yang bersifat separuh lelaki pula adalah lelaki yang tidak disempurnakan oleh Allah agama dan akalnya, apabila dia ingin membuat sesuatu keputusan, dia tidak meminta pandangan daripada sesiapapun sebaliknya dia berkata: "Sesiapa sahaja aku boleh mengikuti dan menggunakan pandangannya mengikut kesesuaian", menyebabkan kadangkala dia membuat keputusan yang tepat dan kadangkala dia membuat keputusan yang salah. Adapun lelaki yang tidak bersifat lelaki pula ialah lelaki yang tidak mempunyai agama dan akal fikiran sedikitpun menyebabkan dia sentiasa membuat tindakan yang silap. Kemudian Amru berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya aku akan meminta pandangan daripada sesiapa sahaja mengenai sesuatu perkara walaupun daripada pembantu aku."
- Beliau pernah berkata pada hari-hari terakhir usia beliau: "Aku pernah berada di dalam tiga keadaan bahkan aku mengetahui kedudukan diri aku di dalam ketiga-tiga keadaan tersebut: Suatu ketika dahulu aku berada di dalam kekafiran, sekiranya aku mati pada masa tersebut sudah tentu aku akan dimasukkan ke dalam neraka. Selepas aku berbaiah dengan Rasulullah s.a.w, aku menjadi seorang yang sangat pemalu kepada baginda sehingga aku tidak pernah melihat baginda dengan sepenuh pandangan aku, sekiranya aku mati pada masa tersebut sudah tentu orang ramai akan berkata: Tahniah kepadamu Amru! Memeluk Islam dalam keadaan baik dan mati juga dalam keadaan baik. Kemudian aku diselubungi dengan sesuatu yang aku sendiri tidak mengetahui adakah ia akan dihitung sebagai keburukan ke atas aku atau ia dihitung sebagai kebaikan untuk aku?"

Kelebihan beliau:


- Imam Ahmad dan Tirmizi meriwayatkan sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda tentang beliau: Orang yang paling kuat Iman dan Islam adalah Amru bin Al-As.
Kematian beliau:
Beliau meninggal dunia pada tahun 43 Hijrah selepas menghabiskan usia dan perjalanan hidup yang panjang

Sunday, July 31, 2011

Bulan Suci-Mu


Bulan yang penuh rahmat-Mu
Ku bersujud dihadapan-Mu
Memohon segala keampunan dari-Mu

Di Bulan yang Kau muliakan
Ku Jalani dengan ke khusyukan hati
Bulan yang lebih mulia
Dibandingkan dengan semua yang ada dibumi ini
Terdengar seruan Asma-Mu
Di berbagai penjuru bumi
Menyedarkan aku untuk kembali
Menuju jalan lurus-Mu
Jalan Putih,diLorong Putih-Mu
Ku tempuh semua dengan pasti
Untuk mengharap Redha-Mu
Walau menghadapi segala rintangan
Malam-Mu yang begitu indah
Malam LAILATUL QADAR
Memanggil kami para hamba-Mu
Untuk berlumba-lumba mendapatkan malam-Mu
Pada bulan yang suci
Jalan Putih,diLorong Putih-Mu
Ku bersujud dihadapan-Mu
Memohon ampunan-Mu
Ya Rabbi………….















 

Salam Ramadhan Al Mubarak



Salam Ramadhan Al  Mubarak kepada semua sahabat di Bloggers ..
Semoga Ramadhan tahun ini lebih membawa kita mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa
dan sesama manusia itu hendaklah saling tolong menolong antara satu sama lain
supaya Islam itu dilihat sebagai Ad-Din yang sangat indah di mata dunia dan juga sebagai wadah 
untuk orang di luar sana agar memilih Islam sebagai pegangan hidup mereka hingga akhir zaman







Jangan Takut Kahwin Awal


Bagaimana seorang pelajar tahun akhir universiti yang hampir bunuh diri kerana depresi (tekanan) setelah ditinggalkan kekasih mengubah kehidupannya 180 darjah menjadikannya insan yang paling bahagia di muka bumi ini dengan perkahwinan di usia awal. Berikut adalah coretan terus dari hati dan mata pena beliau.

*****
Saya berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami saya berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, "Nak bagi bini makan apa? Pasir?"
Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh kami 'declare', untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun, saya ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur, saya hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak berhubung dengan dunia luar.
Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran suami saya yang sudah 4 tahun menunggu peluang. Pada mulanya, saya ingat sekadar 'cinta rebound', tetapi selepas 2 bulan berkenalan dan bercintan, suami saya melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya ingat satu gurauan. Akhirnya si dia berani hubungi ayah saya dan minta izin untuk berkahwin kerana takut kehilangan saya lagi.
Ayah saya pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat ijazah.
Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2 bulan untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan saya sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis, kami bernikah.
Simple bukan? Kenapa perlu pening?
Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda.
Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, hantaran RM10K ke atas). Perlu tidak?
Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri, saya tidak perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin cara Melayu; bukan cara Islam.
Saya perempuan lulusan ijazah, saya ada tulang 4 kerat, dan saya boleh berusaha, kenapa perlu mengharap dengan lelaki? Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.
Kos kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran, majlis, belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan masih ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.
Kenapa perlu buat majlis di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal untuk katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan peralatan. Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul depan orang.
"Seganlah. Nanti orang kata apa."
"Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran."
Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah.
Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan untuk anak pertama. Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin bukan murah. Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada RM400-500. Tapi di hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat tinggi sekarang.
Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di pasar? Harga lampin pakai buang? Dan sekarang, anda masih terfikir pelamin itu penting? Ini tak kira duit nak beli kenderaan, beli rumah. Pening!!
Jadi jangan bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak perlu.
Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut dan malu, disentuh lelaki bukan mahram. Dan suami saya tidak perlu takut saya diambil lelaki lain seperti dahulu. Apa semua yang pasangan bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami boleh lakukan lebih dari itu, dengan halal. Tidak perlu risau. Kami aman dan bahagia. Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar mengenal sesama sendiri. Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.
Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. Saya dan suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya mampu tanggung hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa menyusahkan suami? Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi pelajar perubatan, anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Saya tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur cintakan suami saya. Saya tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa senang dengan saya.
Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima.
Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. Dan bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan dan kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian, perbezaan itu melengkapkan.
Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia.
- Artikel iluvislam.com
Nota : Perkongsian di atas merupakan satu contoh bahawa perkahwinan di usia muda merupakan satu pilihan atau option yang ada bagi masyarakat kita. Walaubagaimanapun, keputusan mendirikan rumah tangga perlu dibuat dengan hikmah bergantung kepada keadaan pasangan masing-masing kerana kehidupan selepas bernikah adalah cabaran sebenar dan pastinya kita inginkan rumah tangga yang berkekalan sehingga akhir hayat.
"Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptkan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu BERSENANG HATI dan hidup MESRA dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan KASIH SAYANG dan BELAS KASIHAN." (Surah Ar-Rum, 21)
Sumber Grafik: testi.iluvislam.com

Bercouple Atau Jual Mahal


Masa kecil saya pernah memikirkan, memang perlukah seorang yang dewasa ber'dating' sebelum melangkah ke alam perkahwinan?
Kenapa saya bingung akan hal ini? Kecil-kecil lagi sudah gatal?
Bukan begitu. Naluri kanak-kanak saya pada waktu itu merasakan tidak selesa dengan apa yang ditayangkan dikaca televisyen.
Jikalau ceritanya tentang pasangan kekasih, sudah pasti ada adegan keluar makan berdua-duaan sebelum punya ikatan yang sah.
Cerita tempatan apatah lagi luar negara, babak kekasih dilamun cinta sebelum berkahwin disusun dengan penuh teliti.
Tetapi saya memang bingung.
Memang perlukah begitu? Perlukah bercouple sebelum berkahwin? Nyata saya tidak selesa di awal usia kanak-kanak.
Cinta Monyet
Alhamdulillah, semasa di sekolah rendah mahupun sekolah menengah saya jauh dari memahami erti ataupun mengalami cinta monyet.
Istilah yang biasa tetapi sekadar mendengar.
Ada sahaja rakan-rakan yang ber'cinta' seawal darjah lima.
Saya bingung. Memang terlalu muda untuk memahami tentang perkara ini.
Maka tidak hairanlah mengapa saya bingung ketika itu.
Pelik dan mencari-cari sebab mengapa ada yang bercinta seawal usia di darjah lima.
Di sekolah menengah, lain pula ceritanya. Kisah bercinta menjadi lebih hebat.
Mungkin merasakan diri lebih matang sedangkan baru menginjak remaja.
Kisah cinta disekeliling saya bermacam-macam.
Kenyataan-kenyataan seperti; batch kami bercinta seperti tukar baju (pelajar batch tersebut sering bertukar-tukar pasangan ibarat menukar baju setiap hari), ada senior mengaku dia bercinta untuk mencari pengalaman.
Aduh! Saya menjadi semakin bingung.
Benarkah ini semua?
Erti couple, cinta dan perkahwinan
Kini setelah saya berusia dua puluh dua tahun, saya semakin mengerti.
Kisah pasangan berdua-duaan yang saya fikirkan semasa kecil, bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam.
Bahkan, Islam sebagai cara hidup menggariskan cara yang cukup indah dan sempurna untuk mengikat pertalian antara adam dan hawa.
Kisah cinta monyet yang membingungkan semasa di zaman sekolah juga dapat saya cari jawapannya.
Buku Tentang Cinta karangan Ustaz Pahrol banyak membantu saya untuk memahami isu ini.
Tambahan pula, semasa saya di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, forum Tentang Cinta telah diadakan. Panel-panel terdiri daripada Ustaz Pahrol sendiri, Ustaz Hashim (trainer Fitrah Perkasa) dan Ustaz Hasrizal.
Panel yang hadir cukup berpengalaman kerana mereka jauh lebih dewasa dan sudah berkeluarga.
Islam dan Cinta
Islam menganjurkan lelaki dan wanita bertaaruf iaitu berkenal-kenalan sebelum mengikat pertunangan.
Cara bertaaruf menjaga adab dan syariat. Pasangan tidak berdua-duaan tetapi ditemani oleh orang tengah mahupun ibu bapa sendiri.
Bercinta pula perlu punya tujuan. Apa tujuan cinta monyet?
Sekadar suka-suka atau untuk mencari pengalaman? Jika benar, bukankah itu alasan-alasan yang menyedihkan?
Bercinta adalah berkasih sayang.
Mampukah untuk kita berkasih sayang dengan seseorang yang asing jika kita belum mampu menyayangi ahli keluarga sendiri?
Maka jika benar, kita berkasih sayang dengan orang luar perlu sama seperti berkasih sayang dengan ahli keluarga sendiri.
Tetapi adakah perkara ini benar-benar berlaku di antara pasangan yang menyatakan diri mereka bercinta?
Bagi saya, untuk memahami istilah cinta, saya perlu memahami erti mencintai diri sendiri, mencintai ahli keluarga, mencintai rakan-rakan dan yang lebih utama mencintai Allah dan RasulNya.
Saya perlu menguasai erti cinta ini sebelum mencintai seseorang yang asing - lelaki dalam hidup seorang wanita.
Terlalu teoritikal? Pandai-pandailah mencari cara untuk amalinya.
Semakin dewasa saya semakin memahami dan lihat sendiri teori-teori cinta secara praktikalnya (bukan saya yang bercinta, tetapi melihat realiti disekeliling).
Cinta itu perlukan kepercayaan dan tanggungjawab. Cinta itu memberi tanpa mengharap balasan.
Teori ini memang benar untuk menyelesaikan masalah-masalah perkahwinan yang saya ketahui(bukan menjaga tepi kain orang, tetapi mungkin diri sudah cukup dewasa memahami permasalahan ini).
Perkahwinan yang memang bergelora.
Sesekali terasa takut pula memikirkannya. Tetapi seperti kata emak; Jalan ini mudah sahaja jika manusia ambil jalan yang lurus. Tetapi hakikatnya, ada yang memilih yang bengkang-bengkok.
Jual mahal?
Setelah berusia dua puluhan dan masih tidak berpunya atau tidak pernah ber'boyfriend', maka masyarakat amnya masih mempunyai stigma bahawa tuan punya badan mungkin jual mahal.
Nasihat seperti , jangan jual mahal nanti tidak laku dan sebagainya dilontarkan.
Persoalannya, setelah beberapa perkara seperti di atas dibangkitkan, adakah benar bahawa seseorang yang tidak ber'boyfriend' itu wajar dikategorikan sebagai jual mahal atau memilih?
Atau mungkin tuan punya badan sekadar menongkah norma masyarakat kerana tidak bersetuju dengan gejala couple yang dipandang sebagai satu kemestian dan kebiasaan?
Atau mungkin tuan punya badan benar-benar memikirkan erti sebenar cinta dan berkasih sayang?
Isu yang berat untuk difikirkan bersama.
Masakan tidak, di dalam hadis daripada Nabi s.a.w. yang menegaskan dengan maksud bahawa :
"Sesiapa yang telah berkahwin dikalangan kamu maka dia telah sempurnakan separuh dari urusan agamanya dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada setengah atau separuh urusan agama yang selebihnya".
Masakan cinta dan perkahwinan perkara yang main-main sekiranya sebesar ini ganjaran yang dijanjikan Allah.
Tulisan ini sekadar perkongsian yang sudah mula saya fikirkan sejak kecil lagi. Mencari-cari apakah formulanya sedangkan Islam memang ada jawapannya.
Tulisan ini juga sekadar muhasabah diri dan mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan mendoakan kakak kandung saya yang bakal melansungkan pernikahan Sabtu ini.
Juga buat senior mahupun junior yang selamat diijabkabulkan sepanjang cuti ini.
Tahniah dan selamat menempuh alam baru!